Korang wajib tonton filem Pagari Bulan yang akan ditayangkan dipawagam pada 5 Okt 2023 ini.
Terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi jemput Bro untuk hadiri Malam Gala Tayangan Perdana Filem Pagari Bulan.
Satu karya tentang sisi gelap waktu penjajahan Jepun yang mungkin kita sendiri tidak tahu yakni isu ‘comfort women’ disampaikan dengan baik oleh pengarahnya, Ts Raja Mukhriz.

Mempertaruhkan Nazeera Sardi sebagai tunjang utama.
Digandingkan bersama Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong dan Micheal Ang.
Filem ini merupakan terbitkan Eleven Field Creative Sdn Bhd, menampilkan semangat patriotisme dalam perjuangan wanita untuk bangkit dari penindasan askar jepun.
Untuk pengetahuan anda, Filem Pagari Bulan ini menerima dana filem kenegaraan bernilai RM2.5 juta dari Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas).
Menurut penerbit, mereka 2x gagal mendapatkan dana ini, bagaimanapun mereka tidak sesekali pun berputus asa dan hadir dengan penambahbaikan pada karya ini untuk mendapatkan dana pada percubaan ke-3.
Pagari Bulan ini pada asalnya, merupakan filem pendek arahan Raja Mukhriz pada 2016 yang pernah meraih pengiktirafan pada Festival Filem Eurasia di Kazakhstan dan naskhah ini dikembangkan menjadi Filem Pagari Bulan.
Idea filem ini datang dari Ellyna Ahmad dan Ts Raja Mukhriz setelah melihat belum ada genre ‘comfort women’ diketengahkan dalam filem tanah air.
Manakala skrip dan lakon layar pula oleh Siti Jasmina Ibrahim.
Sinopsis Filem Pagari Bulan
Filem Pagari Bulan mengisahkan tentang Bulan yang merupakan anak sulung kepada Ismail dan isterinya Hasnah yang berhadapan dengan kedatangan pihak Jepun ke Kelantan dari arah pantai.
Penduduk kampung berdekatan dan kampung lain terpaksa mempertahankan kampung mereka dalam apa cara sekalipun.
Namun di ketika pihak British yang selalunya ada bersama menjaga mereka, telah disingkir keluar, penduduk cemas dan tidak sempat menyusun langkah pertahanan yang teratur.
Maka ramai yang didera dan dibunuh, dan anak gadis dijadikan sasaran ditahan dan dikurung lalu dijadikan mereka ‘Comfort Woman’ untuk menemani askar-akar jepun.
Bulan bersama-sama adiknya Kasih dan sahabatnya Sui Li juga ditangkap. Dikurung, dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu. Maka bulan harus bertahan dan mencari jalan untuk bebas dari cengkaman askar Jepun.
Kejahatan Jepun yang kejam terhadap wanita membuatkan Bulan mempertaruhkan nyawanya demi menyelamatkan bangsa dan tanah airnya.
Semasa Bulan berjuang untuk terus hidup, muncul seorang leftenan muda, MIURA yang ditugaskan dengan membawa etika ketenteraan lebih profesional dan menolak nilai keganasan penderaan terhadap penduduk yang dijajah.
Kehadiran MIURA banyak memberi harapan kepada Bulan untuk teruskan hidup, malah orang kampung juga mendapat pertolongan MIURA untuk mengalahkan askar jepun.
Review Filem Pagari Bulan oleh Bro Framestone
Tahniah Bro ucapkan kepada Eleven Field Creative selaku penerbit dan juga pengarahnya, Ts Raja Mukhriz yang berjaya hadir dengan satu karya yang mengetengahkan sisi gelap waktu zaman penjajahan Jepun.
Kita sebelum ini, banyak disajikan dengan filem/drama mahupun cerita dari orang terdahulu tentang kekejaman askar jepun. Ada yang dipancung kepala, ada yang dipaksa minum air sabun dan makan ubi kayu untuk teruskan hidup.
Bagi karya Pagari Bulan ini, Bro nampak satu sisi berbeza yang mungkin anda tidak tahu atau tidak diceritakan sepanjang hidup anda iaitu mengenai wanita yang dijadikan pemuas nafsu atau ‘comfort woman’ kepada askar jepun.
Ianya bukan soft p*rn, tetapi memaparkan realiti yang sebenarnya terjadi pada waktu itu.
Wanita-wanita ini dijadikan pemuas nafsu bagi menaikkan semangat askar Jepun yang berjauhan dengan keluarga dan negara asal. Bagi yang ingkar akan dibunuh, bagi yang sakit akan hilang tanpa dikesan. Maka wanita yang dikurung, tidak tahu apa nasib yang menimpa teman-teman mereka yang sakit.
Lebih ketara lagi lepas Jepun kalah dan berundung, wanita-wanita ini tidak diterima oleh keluarga mereka dan terpaksa membawa diri untuk meneruskan hidup sendirian.
Boleh dikatakan, banyak babak kekejaman Jepun tidak dipotong atau diblurkan. Memang korang akan nampak kepala yang dipenggal dipamerkan bagai trofi.
Belum lagi babak wanita ditembak kepalanya sampal berkecai kerana ingkar pada arahan askar Jepun.
Pemilihan watak juga tepat dan kebanyakan watak berjaya disampaikan dengan baik oleh semua pelakon dan berjaya memberi kesan mendalam kepada penonton.
Pihak penerbit juga ada memberitahu, kebanyakan pelakon dipilih melalui uji bakat yang diadakan. Bukan itu sahaja, mereka juga dikehendaki hadiri kelas bahasa Jepun dan dapatkan tunjuk ajar untuk kuasai bahasa Kelantan yang kebanyakan dituturkan dari awal hingga akhir filem ini.
Cuma di sini, Bro tertarik sangat dengan watak yang dilakonkan oleh Michael Ang dan beliau membawa watak dengan jayanya.
Mungkin kita dah biasa dengan perwatakan beliau sewaktu LIVE atau bersua muka.
Tetapi dalam Filem Pagari Bulan ini, beliau berjaya membuat penonton rasa macam mana perasaan seorang ayah dan juga kaum minoriti yang kita sendiri tahu merupakan musuh ketat kepada negara Jepun. Maka beliau diseksa teruk oleh askar jepun dan anaknya diambil untuk dijadikan tebusan.
Lebih ketara ketika babak dia dipanggil untuk melihat sendiri anaknya dihukum tembak sampai mati kerana melawan askar Jepun.
Di akhir cerita, beliau yang hidup keseorangan menerima kehadiran Bulan dan menjaga dia seperti anaknya sendiri.
(Tulis part ini pun dah bergenang air mata Bro hahaha)
Sekali lagi tahniah diucapkan kepada Eleven Field Creative selaku penerbit dan juga kepada semua krew serta pihak penaja yang menjayakan filem ini.
Filem Pagari Bulan ini bakal ditayangkan bermula 5 Okt 2023 di pawagam seluruh Malaysia dan Singapura.