Tourism Malaysia telah melancarkan Pakej ‘Miss SHOPhia Coffee Experience’ dalam usaha mempromosikan industri kopi di kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.
Penerbitan risalah pakej ‘Miss SHOPhia Coffee Experience’ menggabungkan segmen gastronomi berunsurkan kopi dan segmen minat khas lain yang terdiri daripada 30 pakej-pakej unik yang dibangunkan.
Pengenalan pakej terbaru ini merupakan kesinambungan kepada pakej ‘Northern Malaysia Coffee Experience’ yang telah dilancarkan pada tahun lalu melibatkan penawaran pakej di negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Tawaran bermula daripada RM95 seorang sehingga RM959 bagi pakej 3 Hari 2 Malam (3H2M). Pakej ini antara lain menawarkan lawatan seperti ke kilang kopi di Taiping, Perak; melawat tapak semaian benih kopi di Sik, Kedah; merasai pengalaman kopi di Borneo sambil menghayati keindahan bumi kenyalang dan keunikan budaya di negeri di bawah bayu.
Pakej-pakej ini dilihat mempunyai potensi besar untuk dipromosikan selaras dengan Dasar Pelancongan Negara yang memfokuskan kepada peningkatan pengalaman pelancong, selari dengan trend masa kini dimana golongan ‘Millennials’ menjadikan aktiviti bersantai di kedai kopi atau kafe sebagai salah satu gaya hidup.
Tourism Malaysia juga bekerjasama dengan penyedia laman sesawang “petakopi.my” dalam penyenaraian kedai kopi dan kafe yang terlibat dalam kempen ini. Lebih 2,000 kedai kopi di seluruh Malaysia yang telah tersenarai dan ’coffee mapping’ ini dapat dipromosikan ke peringkat antarabangsa.
Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 Himpun Usahawan Kopi
Tourism Malaysia dan Pesta Kopi Ventures juga bekerjasama dalam penganjuran Miss SHOPhia Go Pesta Kopi Extended 2023 yang menghimpunkan usahawan kopi dari Cameron Highlands, Johor Bahru, Kota Bharu, Melaka, Alor Setar, Selangor dan Kuala Lumpur yang memperkenalkan produk serta menunjukkan cara dan seni penyediaan kopi masing-masing.
Kelainan yang dibawa pada pameran kopi kali ini ialah kopi khas dari Borneo oleh Sarawak Tourism Board dan Sabah Tourism Board melalui Sabah United Coffee Association bagi memperkenalkannya kepada para pengunjung dari dalam dan luar negara yang mengunjungi Pavilion Bukit Jalil.
Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi laman web Tourism Malaysia di https://www.malaysia.travel.