Lung Cancer Network Malaysia (LCNM) dan AstraZeneca melancarkan satu lagi kerjasama strategik untuk meluaskan akses kepada diagnosis kanser paru-paru menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Kerjasama ini dijalinkan bersama tiga buah pusat rawatan kanser swasta terkemuka; Hospital Beacon, Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Sunway untuk menyediakan pemeriksaan kanser paru-paru secara percuma kepada rakyat Malaysia.
Melalui kerjasama ini, ia dapat meluaskan lagi akses untuk orang ramai menerima teknologi saringan Kecerdasan Buatan (AI) yang canggih (Qure.ai).
Jika perlu, siasatan lanjut akan dibuat dengan imbasan tomografi terkira dos rendah (LDCT) di ketiga-tiga hospital penjagaan tertier ini.
Perikatan ini menandakan kerjasama pelbagai pihak yang unik antara klinik penjagaan utama Qualitas terpilih dan tiga hospital pakar dalam usaha mereka untuk menyediakan akses kepada teknologi AI (Qure.ai) dan pengimejan LDCT yang canggih untuk pesakit.
Dengan akses yang dipertingkatkan, alat tafsiran X-ray AI yang menggunakan algoritma pembelajaran mendalam untuk mengesan keabnormalan pada radiografi dada boleh meningkatkan kepekaan untuk pengesanan nodul paru-paru yang selalunya merupakan tanda pertama kanser paru-paru.
Kes yang disyaki kemudiannya akan disiasat selanjutnya dengan imbasan LDCT bukan kontras yang merupakan kaedah saringan yang terbukti baik untuk mengurangkan kematian berkaitan kanser paru-paru bagi individu berisiko tinggi.
Pemeriksaan Kanser Paru-Paru PERCUMA
Program pemeriksaan kanser paru-paru AI yang percuma ini telah dimulakan oleh Dr. Anand Sachithanandan, Pakar Bedah Kardiotoraks dan Presiden LCNM bersama Dr. Sanjeev Panchal, Presiden Negara, AstraZeneca Malaysia.
Ia demi menghidupkan hasrat mereka yang dikongsi bersama untuk menggalakkan pengesanan awal kanser paru-paru dikalangan masyarakat.
Untuk pengetahuan,
Kanser paru-paru adalah kanser kedua paling biasa dan penyebab utama kematian berkaitan kanser di kalangan kaum lelaki rakyat Malaysia.
Kebanyakan kes kanser paru-paru dikesan lewat dan ini menyebabkan penurunan kadar kelangsungan hidup pesakit kanser jenis ini berbanding jenis kanser utama yang lain di negara kita.
Melalui penubuhan program ini, rakyat Malaysia – terutamanya mereka yang berkemungkinan berada dalam kategori berisiko tinggi seperti bekas perokok tegar dan mereka yang masih lagi merokok – akan dapat mengesan kehadiran awal kanser melalui penggunaan teknologi canggih yang tersedia.
Kesan Penyakit Kanser Paru-Paru Awal
Pengesanan penyakit kanser paru-paru peringkat awal adalah penting kerana hasil rawatan dan prognosis sangat bergantung pada peringkat penyakit.
Menurut Dr. Anand, prognosis yang tidak baik di kalangan pesakit kanser paru-paru selalunya disebabkan kebanyakan pesakit tidak akan mengalami apa-apa tanda atau gejala pada peringkat awal penyakit ini dan mereka hanya akan sedar tentang masalah kesihatan mereka apabila penyakit ini telah lanjut.
Dengan pendekatan terapi pelbagai disiplin dan pelbagai mod, kanser paru-paru yang dikesan pada peringkat awal dapat membawa prognosis yang sangat baik kerana rawatan kuratif akan lebih berkesan dan lebih kos efektif apabila kanser mula dirawat pada peringkat ini.
Setiap pihak melalui kerjasama ini berharap inisiatif ini akan membuka jalan kepada pengusaha industri lain untuk menyertai gabungan ini untuk membantu meluaskan lagi akses bagi pesakit untuk mendapatkan diagnosis kanser paru-paru pada harga yang berpatutan di negara ini.
Untuk maklumat lanjut tentang kempen saringan percuma ini, sila kunjungi: https://www.lungcancer.net.my/free-ldct-lung-screening-programme-2/