DHL Express memperkenalkan enam van elektrik di Malaysia yang akan membuat penghantaran di Lembah Klang.
Penambahan ini menandakan syarikat tersebut sebagai penyedia logistik yang pertama di negara untuk beralih ke kenderaan elektrik komersial.
Van-van baharu ini ditugaskan kepada kawasan Kuala Lumpur dan Selangor bermulaan awal bulan Oktober. DHL akan menambah 55 van lagi pada tahun depan bagi jumlah keseluruhan 61 van di seluruh negara menjelang 2023.
Model CAM EC35 yang sepenuhnya elektrik mempunyai ruang kargo 4.8 m³ dan mampu mengangkat muatan sebanyak satu tan, sama seperti van konvensional yang digantikan. Ia memerlukan lapan jam untuk dicas penuh bagi jarak sehingga 266 kilometer.
Masa ini dikurangkan kepada 2.5 jam dengan pengecasan pantas arus terus (sehingga 40kW). Sistem anti-brek (ABS) dan pengagihan kuasa brek elektronik (EBD) adalah antara ciri-ciri standard yang meningkatkan keselamatan dan pengalaman memandu kurier sambil mereka melengkapkan laluan harian mereka.
Pada masa yang sama, DHL telah membangunkan infrastruktur untuk menyokong pelancaran ini. Titik-titik pengecasan pintar di pusat khidmat direka bentuk khas untuk menampung lebih lagi van elektrik pada tahun-tahun akan datang.
Melalui penggunaan CAM EC35, DHL akan mengalami penjimatan kos bahan api sebanyak 48 peratus serta pengurangan 33 peratus dalam pelepasan CO2 setiap tahun.
Inisiatif ini membentuk sebahagian daripada sasaran sedunia Deutsche Post DHL Group untuk mengelektrikkan 60 peratus kenderaan penghantarannya menjelang 2030, lalu mengukuhkan portfolio logistik EV dan menyokong pelan hala tuju kemampanannya. DHL Express dijangkakan akan memiliki lebih daripada 1,000 kenderaan elektrik di Asia Pasifik menjelang 2024.
Peralihan ke van eletrik juga selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), yang menekankan kepentingan kenderaan cekap tenaga terhadap komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.