Piere Andre yang digelar sebagai pengarah KING OF HORROR, kembali untuk mengarah filem sekuel seram – Jangan Pandang Belakang 2 “Aku Tahu Asal Usulmu” terbitan Metrowealth International Group (MIG).
Beliau menjadi pilihan pertama penerbit kerana yakin pemilik idea asal dan penulis skrip filem fenomena ini dapat merealisasikan keseraman yang semulajadi di dalam filem kerana beliau memiliki kelebihan untuk melihat dan merasai perkara mistik.
Menurut penerbit filem terkenal, David Teo mengatakan keputusan untuk menerbitkan filem Jangan Pandang Belakang 2 ini selepas beliau melalui pengalaman mistik yang menyerang dirinya secara peribadi.
Disebabkan itu, beliau terus mendapat ilham untuk berkongsi pengalaman beliau kepada penonton melalui sebuah filem dan memilih untuk menjadikan filem fenomena seram Jangan Pandang Belakang (2007) dijadikan sebagai platform penceritaan dengan harapan dapat menjadikan filem sekuel ini sebagai satu gelombang fenomena seperti 17 tahun dahulu.
Untuk rekod,
17 tahun lepas, Filem Jangan Pandang Belakang pernah mencatat fenomena filem terseram di Malaysia dimana filem ini telah menempa sejarah dalam industri perfileman negara setelah mendapat kutipan tiket filem melayu tertinggi di Malaysia sebanyak RM 6.33 Juta dan kutipan mencecah RM 7.4 Juta dan telah merangkul anugerah BOX OFFICE dalam Festival Filem Malaysia ke-20.
Filem ini merupakan kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi. Namun, ada sesuatu yang menghalang dan membawa pelbagai kejadian menyeramkan.
Barisan pelakon yang terlibat dalam filem ini adalah EMMA MAEMBONG, IEDIL DZUHRIE ALAUDIN, MAWAR RASHID, ALIF HADI, KHATIJAH TAN, RUMINAH SIDEK, HAFIDZUDDIN FAZIL, CAT FARISH, KEL NARINA dan ramai lagi.
Filem ini bakal memulakan penggambaran pada 20 Februari 2024.
Dalam perkembangan lain, Metrowealth International Group (MIG) juga telah siap penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi EMPAT FILEM lain iaitu CHEONGSAM MERAH DARAH, NGESOT, CITRA APARTMENT dan PONTIANAK 200KG.