Rampas Cintaku 2 – kembali dengan gandingan dua Primadona negara iaitu Fasha Sandha sebagai Datin Safieya dan Erra Fazira sebagai Dato’ Nasha beraksi bersama barisan pelakon hebat yang lain.
Kisah pergolakan cinta, konflik dan muslihat kembali dengan drama sensasi Rampas Cintaku 2 yang bakal ditayangkan bermula 19 Januari di platform penstriman video iQIYI.
Drama ini merupakan pembuka tirai bagi tahun 2024 dari produksi original tempatan oleh iQIYI.
Jika musim lalu, peminat disajikan dengan hubungan cinta antara “sugar mummy” dan “anak ikan”, musim 2 pula berkisarkan tentang Datin Safieya (lakonan Fasha Sandha) bergelut dengan dilema apabila kemunculan semula bekas suaminya, Dato’ Jefri (lakonan Zarul Husin) yang cuba menggugat rumah tangga bahagia yang dibina bersama Rizal (Afieq Shazwan).
Situasi menjadi semakin tragis apabila Safieya kehilangan Rizal secara tiba-tiba dan ini membuatkan dia berasa semakin tertekan.
Musim terbaru ini juga tidak kurang hebatnya, apabila peminat bakal menyaksikan gabungan barisan pelakon dari musim pertama serta penampilan para pelakon ikonik iaitu Zarynn Min, Puteri Balqis, dan Ady Mohammad dari musim terdahulu, diserikan lagi dengan kehadiran Erra Fazira, Keith Foo, Lorenzo Irmann dan Zamarul Hisham yang pastinya bakal mencuri hati peminat tegar drama ini.
Rampas Cintaku 2 bakal membawa penonton menelusuri perjalanan Datin Safieya yang berjuang melawan kesedihan dan kesetiaan yang diuji apabila hadirnya jejaka yang cuba meredakan kesunyiannya setelah kehilangan suami tercinta.
Rampas Cintaku 2 juga bukan hanya sekadar sekuel yang dinantikan, tetapi ia juga merupakan permulaan baharu untuk iQIYI Malaysia dalam menghasilkan 12 karya tempatan yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Ini juga selari dengan misi mereka menjadikan platform penstriman ini sebagai wacana hiburan tempatan dan menyumbang kepada kepelbagaian dalam industri hiburan global.
“Rampas Cintaku juga bakal mencipta sejarah apabila ia bakal menjadi drama Melayu pertama yang ditayangkan di China, dan ini adalah langkah besar untuk seni hiburan Malaysia. Dengan iQIYI sebagai tapak, kami bawakan rancangan ini untuk tontonan global ke lebih dari 190 negara, sekaligus mengangkat industri hiburan Malaysia ke mata dunia.” – Zebedee De Costa, Ketua Produksi Original iQIYI Malaysia
Rampas Cintaku 2 bakal ditayangkan di platform iQIYI secara globall (www.iq.com dan aplikasi) meliputi lebih dari 190 wilayah bermula 19 Januari 2024.