Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.
Perintah itu membabitkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu :-
- PKP ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.
- PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
- PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan di seluruh negara, manakala pergerakan rentas daerah juga dilarang bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuat kuasa pada 12.01 tengah malam 13 Januari 2021.
Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja.
Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama.
Beliau berkata, mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.
Bagaimanapun, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.
Hanya lima sektor dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.
Kedai makan dan gerai penjaja dibenarkan beroperasi hanya untuk perkhidmatan bawa pulang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Manakala, kedua-dua jenis perniagaan itu boleh beroperasi seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi kawasan dikenakan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan.
Perkhidmatan penghantaran makanan adalah dibenarkan, manakala pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi; serta bank boleh beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga.
Calon peperiksaan utama terutama di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi sesi 2020 dan 2021 dibenarkan hadir ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
[TERKINI 12 Jan 2021] Tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal – Agong