Sepanjang minggu ini hangat diperkatakan mengenai Belanjawan 2020, dimana banyak pihak menantikan ‘Janji Pakatan Harapan’ yang masih lagi belum ditunaikan.
Berikut adalah intipati Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat hari ini.
Belanjawan 2020 yang bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ dengan bertunjangkan empat teras utama dalam usaha untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan negara kerajaan.
Di sini, Bro akan kongsikan beberapa intipati Belanjawan 2020 :-
Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)
Kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion bagi mengarus perdana Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam negara.
Menerusi peruntukan ini, sinergi antara sektor awam dan swasta dapat diperkukuhkan menerusi peningkatan pembiayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC).
Oleh itu, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan SSDC.
Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) juga dibenarkan menggunakan lebihan hasil yang dijana daripada kursus TVET yang disediakan kepada industri untuk perbelanjaan seperti menaik taraf peralatan dan melantik tenaga pengajar daripada industri.
Bagi menggalakkan kerjasama industri yang lebih oleh ILKA, geran padanan berjumlah RM20 juta disediakan untuk menyokong kursus TVET yang direka khas untuk dilaksanakan dengan kerjasama industri.
Kerajaan juga akan memperluaskan laluan kerjaya graduan TVET untuk melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan.
Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan mula menawarkan kursus ijazah untuk pelatih yang sudah menamatkan pengajian dari Kolej Vokasional tahun hadapan,” katanya.
Menurutnya, bagi tujuan menyediakan latihan TVET yang dipadankan dengan pekerjaan bersesuaian, kerajaan juga akan menyediakan RM30 juta untuk melatih lebih 3,000 belia daripada keluarga berpendapatan rendah dengan kerjasama Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).
Pendapat Bro : Diharapkan ramai pihak terutamanya anak muda melayu terlibat dalam program ini, dan menggunakan peluang yang sedia ada untuk melanjutkan pengajian.
Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri)
Kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memanjangkan manfaat Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri) tahun hadapan.
Program ini akan ditambah baik bagi membolehkan suami memilih untuk menyumbang secara sukarela sebanyak dua peratus daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) isteri.
I-Suri diperkenal pada 15 Ogos tahun lalu bertujuan bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada ahli keluarga dan pembangunan negara.
Sebagai permulaan, skim ini akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebelum diperluas ke sektor lain.
Pendapat Bro : Antara isu panas pada tahun lepas, tetapi inisiatif ini bagus dilaksanakan. Kerana ramai suami yang culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Moga akan datang akan diperkenalkan beberapa skim yang mampu membantu ibu tunggal mendapatkan nafkah melalui potongan gaji dari bekas suami.
Skim Program Subsidi Petrol (PSP) Bersasar
Kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu.
Bermula Januari 2020, PSP bersasar yang juga sebahagian daripada janji Pakatan Harapan itu, akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan :-
Kategori Pertama – Bagi penerima BSH (B40) yang layak.
Subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan, untuk pemilik motosikal.
Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.
Pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020.
Kategori kedua – Bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH.
Mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal.
Katanya, Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020.
Apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur.
Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter.
Kenderaan yang layak untuk subsidi itu adalah kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah atau kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1600cc yang berusia lebih 10 tahun, atau motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah, atau motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun.
Sekiranya memiliki tidak melebihi dua kereta dan dua motosikal yang layak, mereka hanya berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja.
Bagaimanapun pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.
Pendapat Bro : Banyak penjimatan boleh diperolehi sekiranya rumah dekat dengan tempat kerja. Malangnya sewa / harga rumah berganda nilainya dengan sewa / harga rumah yang diduduki sekarang ini.
Skim Perumahan Belia
Kerajaan akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional mulai 1 Jan, 2020 sehingga 31 Disember 2021 bagi membantu belia memiliki rumah pertama.
Skim itu juga menawarkan jaminan pinjaman 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua tahun pertama, terhad kepada 10,000 unit rumah.
Melalui kerjasama sektor swasta, kerajaan juga melancarkan Kempen Pemilikan Rumah di mana pemaju menawarkan sekurang-kurangnya diskaun 10 peratus untuk hartanah yang layak dan akan dipadankan dengan pengecualian duti setem.
Kerajaan juga akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000.
Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.
Belanjawan 2020: Berita baik buat penjawat awam
Kerajaan akan menambah baik saraan penjawat awam, selain turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 bagi pesara kerajaan yang turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen.
Kedua-dua bantuan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2019.
Kerajaan akan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun.
Kerajaan juga membenarkan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.
Selain itu, berita baik buat penjawat awam :-
- Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok bernilai RM100,000 secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baharu kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA)
- Faedah Ex-Gratia Kematian untuk diberikan kepada waris bernilai sehingga RM150,000, selain pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG).
- Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Jan, 2020.
- Anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat bakal menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan RM35 juta bagi 2020.
- Bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 70,000 pemegang Pingat Jasa Malaysia
Inisiatif #MalaysiaKerja.
Bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita selain mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, kerajaan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja.
4 program disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif.
Program Pertama : Program GraduanKerja direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan.
Graduan yang menerima tawaran kerja akan diberi insentif gaji sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun sebagai tambahan kepada gaji. Majikan pula menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh sama.
Program Kedua : Wanita yang telah berhenti kerja selama setahun atau lebih namun kembali bekerja akan diberi insentif gaji sebanyak RM500 sebulan selama dua tahun di bawah program WanitaKerja.
Majikan pula diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama. Pengecualian cukai pendapatan bagi wanita juga dilanjutkan selama empat tahun iaitu sehingga 2023.
Program Ketiga : Bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah, WatanKerja iaitu program kesamarataan kos pengambilan pekerja turut dilaksanakan.
Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Majikan pula menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan bagi tempoh sama.
Program Keempat : PerantisKerja adalah insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar yang mengikuti kursus TVET.
MySalam – Skim Perlindungan Kesihatan Takaful Percuma
Mulai Januari tahun depan, MySalam iaitu skim perlindungan kesihatan takaful percuma, dipanjangkan kepada perlindungan ke atas 45 penyakit kritikal, termasuk penyakit terminal dan polio, berbanding hanya 36 penyakit sedia ada.
MySalam turut memanfaatkan kepada individu yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000.
Mereka akan menerima bayaran penyakit kritikal sebanyak RM4,000 dan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, apabila didiagnos dan dimasukkan ke hospital kerajaan.
Ia juga diperluaskan kepada individu yang berumur sehingga 65 tahun berbanding dengan 55 tahun sekarang.
Info lanjut di https://www.mysalam.com.my/
Intipati Lain Dalam Belanjawan 2020
- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti rawatan persenyawaan tabung uji atau in-vitro fertilisation (IVF).
- Kerajaan akan memperluaskan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) kepada individu yang berusia 40 tahun dan ke atas mulai tahun depan.
- Individu bujang berusia melebihi 40 tahun yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan, layak menerima Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) mulai tahun hadapan.
- Orang kelainan upaya (OKU) berusia 18 tahun dan ke atas, dengan pendapatan kurang RM2,000 sebulan, juga layak menerima bayaran BSH.
- Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di bandar utama berkuat kuasa tahun hadapan.