Kuasa besar esukan Honor of Kings, LGD Gaming berjaya menjadi juara di Honor of Kings Invitational Musim 2 selepas menewaskan Team Secret pada peringkat akhir kejohanan tersebut dengan skor 3-2.
Pertandingan ini berlangsung di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur, pada 7 Julai 2024. Kemenangan ini menandakan pencapaian besar untuk LGD Gaming yang berjaya menundukkan pesaing kuat dari Malaysia, Team Secret, di hadapan ribuan penonton.
Perlawanan ini merupakan pertemuan yang mendebarkan di mana kedua-dua pasukan menunjukkan prestasi yang luar biasa.
Pada peringkat separuh akhir, LGD Gaming mengalahkan Loops Esports dari Brazil dengan skor 3-0, manakala Team Secret menewaskan juara bertahan, Keyd Stars, juga dari Brazil, dengan skor yang sama
Sebagai juara, LGD Gaming Malaysia membawa pulang bahagian terbesar daripada hadiah wang tunai terkumpul berjumlah USD$300,000, dan akan mara ke kejohanan Honor of Kings Invitational Midseason di Esports World Cup dari 1 hingga 4 Ogos, di mana 12 pasukan antarabangsa akan bersaing untuk dominasi global.
LGD Gaming Malaysia, bersama tujuh pasukan lain yang menduduki tempat tertinggi dalam Honor of Kings Invitational Musim 2 kini bersiap sedia untuk kejohanan Honor of Kings Invitational Midseason | Esports World Cup, di mana mereka akan bertempur untuk merebut sebahagian daripada hadiah wang tunai bernilai USD$3 juta.
Di samping itu, antara pasukan yang menyertai Esports World Cup, terdapat dua slot kelayakan, satu untuk negara tuan rumah, Arab Saudi, yang dimenangi oleh Team Falcons yang mara melalui EWC Saudi Qualifier, dan satu untuk Weibo Gaming Malaysia, yang mara dari EWC Last Chance Qualifier.
Terdapat juga dua jemputan – satu ialah barisan pemain All-Star dari King's Pro League, Liga Pro Honor of Kings China, dan satu lagi mewakili rantau Asia Tenggara yang akan ditentukan menerusi Honor of Kings Southeast Asia Showdown.
BOOM Esports (Filipina) dan Rex Regum Qeon (Indonesia) akan bersaing di Honor of Kings Southeast Asia Showdown untuk slot kelayakan terakhir di Honor of Kings Invitational Midseason.
Awal tahun ini, Honor of Kings telah mengumumkan kerjasama selama tiga tahun dengan Yayasan Esports World Cup yang akan menyaksikan permainan MOBA yang paling banyak dimainkan di dunia ini sebagai acara tetap dalam acara tersebut.