Menara Kuala Lumpur telah menganjurkan Pertandingan Memasak Bubur Lambuk sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan Al-Mubarak 1445 Hijrah.
Acara itu yang berlangsung pada hari ini dan telah menyaksikan penyertaan bersemangat daripada 17 kumpulan, di mana setiap kumpulan terdiri daripada empat tukang masak yang mahir.
Pertandingan tahun ini menampilkan dua kategori iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Masjid/Surau. Manakala, panel juri pula terdiri daripada chef terkenal: Chef Selebriti Zaidah Mohd Noor, Chef Yang Jamil, dan Chef Musa, Chef Eksekutif dari ARAS Restaurant KL Tower.
Encik Nazli bin Saad, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., menekankan kepentingan pertandingan itu:
“Salah satu tujuan utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk memperkenalkan juadah Bubur Lambuk, sebagai satu masakan tradisional yang perlu dihargai, terutamanya kepada golongan generasi muda. Kami mahu memastikan ianya tidak dilupakan dan kekal sebagai sebahagian daripada masakan warisan di tengah-tengah era kemodenan hari ini.
Acara ini lebih daripada sekadar pertandingan; ia adalah peluang untuk pengunjung tempatan dan antarabangsa menyelami sejarah tentang kaedah memasak bubur lambuk. Para hadirin berpeluang menikmati pelbagai resipi menarik yang disediakan oleh tukang masak.”
Sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Menara Kuala Lumpur telah menjemput anak-anak yatim dan asnaf (mereka yang layak menerima zakat) daripada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati.
Majlis tersebut turut menyerahkan sedikit sumbangan kewangan daripada Menara Kuala Lumpur kepada Pertubuhan Kebajikan Nur Hati. Sumbangan CSR tidak terhenti di situ, kerana bubur lambuk yang baru dimasak juga telah diedarkan kepada penerima yang layak.
Pertandingan itu berakhir dengan majlis penyampaian hadiah di mana kesemua pasukan yang menang membawa pulang wang tunai keseluruhan berjumlah RM12,000.00.
Pertandingan Memasak Bubur Lambuk Menara Kuala Lumpur 2024 mendapat sokongan daripada rakan Kerjasama iaitu: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Air Selangor, Syarikat Faiza Sdn. Bhd, Astana City Group Sdn. Bhd, Jantzen, Harta Maintenance Sdn. Bhd, dan UiTM.
Menara Kuala Lumpur kini membuka restoran berputar – ARAS yang telah mula beroperasi pada 29 Januari 2024. ARAS menjanjikan pengalaman makan yang unik dengan menu gabungan yang disesuaikan untuk memenuhi citarasa tempatan dan antarabangsa.
Diuruskan oleh MKL Cuisine Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., restoran ini bersedia untuk menjadi destinasi kulinari utama di ibukota.
Untuk membuat tempahan di Restoran ARAS, sila hubungi talian +6011 2888 2020 atau emel kepada aras@kltower.com.my.