Prudence Foundation, pelaburan komuniti daripada Prudential plc, telah melancarkan SAFE STEPS Kids Climate Change, siri tematik terbaru program SAFE STEPS Kids.
Menggunakan watak kartun yang digemari ramai seperti ‘We Bare Bears’ dan ‘Gumball’, siri baharu ini bertujuan untuk mendidik kanak-kanak tentang perubahan iklim dan tindakan mudah yang boleh diambil untuk menjadikan planet ini lebih sihat dan selamat.
Program ini dibangunkan dengan kerjasama International Federation of Red Cross dan Red Crescent Societies (IFRC) dan Warner Bros. Discovery’s Cartoon Network dan akan dilaksanakan di Malaysia oleh Bulan Sabit Merah Malaysia.
Siri ini telah dilancarkan secara rasminya di Kuala Lumpur, Malaysia oleh Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim dan juga Marc Fancy, Pengarah Eksekutif Prudence Foundation.
“Perubahan iklim merupakan isu sediada bagi generasi sekarang dan generasi akan datang. Kegigihan dan semangat golongan muda adalah amat penting dalam membantu dunia mengatasi kesannya.
Kami berasa bangga untuk memperkenalkan kerjasama ini yang akan mendidik dan memberdayakan belia kita untuk mengatasi dan memberi tindak balas terhadap cabaran global dengan menggabungkan tindakan-tindakan yang mudah tetapi memberi kesan ke dalam kehidupan harian mereka.” – Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi.
Misi Prudence Foundation adalah untuk mencipta masa hadapan yang lebih baik untuk komuniti yang mudah terdedah kepada ancaman di seluruh dunia, terutamanya di Asia dan Afrika dengan menjadikan mereka lebih selamat dan berdaya tahan terhadap risiko kehidupan.
“Perubahan iklim memberikan kesan kepada semua lapisan masyarakat, terutamanya kanak-kanak yang mudah terdedah kepada ancaman.
Kami percaya bahawa mengajar kanak-kanak tentang iklim dan melindungi alam sekitar sejak usia muda adalah sangat penting bagi memupuk rasa tanggungjawab, memahami dunia dan sekeliling mereka, serta bagaimana perubahan iklim akan mempengaruhi mereka sepanjang hayat.” – Marc Fancy.
Kartun adalah medium yang berkesan untuk menyampaikan empati dan pemahaman. Walaupun kartun adalah hiburan untuk ditonton, ianya juga memainkan peranan penting dalam membentuk pendapat, tabiat, dan memberi pengaruh kepada kanak-kanak.
Melalui program SAFE STEPS Kids, dengan harapan dapat mendidik dan memperkasakan generasi muda menjadi aset yang berharga untuk memerangi perubahan iklim.
SAFE STEPS Kids mencapai tontonan lebih daripada 20 juta isi rumah setiap hari melalui Cartoon Network di Asia. Dilancarkan pada tahun 2019, tema sebelumnya telah merangkumi bencana alam, keselamatan jalan raya, pertolongan cemas dan kesihatan.
Perihal SAFE STEPS Kids
SAFE STEPS Kids ialah program perkhidmatan awam yang mempunyai pelbagai platform yang ditubuhkan oleh Prudence Foundation, dengan kerjasama International Federation of Red Cross dan Red Crescent Societies (IFRC) dan Cartoon Network.
Program ini memberikan tumpuan dengan menyediakan maklumat yang mampu menyelematkan nyawa kepada kanak-kanak melalui satu siri video yang menghiburkan dan bahan pendidikan yang menampilkan watak Cartoon Network yang digemari.
SAFE STEPS Kids menyasarkan untuk menyelamatkan jutaan nyawa dengan mendidik kanak- kanak sejak usia muda, membantu untuk mewujudkan generasi masa hadapan yang bersedia dan berdaya tahan terhadap situasi yang mengancam nyawa.
Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.safestepskids.com/.