January 25, 2025

Sekinchan – Kampung Tanpa Tunai Pertama di Malaysia

Visit Sekinchan 2023

Sekinchan kini merupakan kampung tanpa tunai pertama di Malaysia menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai kepada pelancong bandar dan pelawat celik digital menerusi pelancaran kempen ‘Visit Sekinchan 2023’.

Ia berkat sokongan serta usaha penduduk dan perniagaan yang telah mula menggunakan instrumen pembayaran digital yang diperkenalkan Hong Leong Bank (HLB) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

Kempen ‘Visit Sekinchan 2023’ telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Ng Suee Lim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan; Domenic Fuda, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB; dan Farhan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Yoke Kuan.

Sekinchan Cashless

HLB telah pun menyokong 24,000 penduduk dan perniagaan di Sekinchan dengan membantu mereka membuka akaun bank, mengeluarkan kad debit dan berhubung dengan bank secara digital tanpa perlu mengunjungi cawangan perbankan berkenaan.

Bank juga secara berperingkat menyedikan 800 perniagaan dengan kit permulaan HLB DuitNow kepada komuniti perniagaan termasuk sekolah.

Kit berkenaan turut merangkumi Kod QR DuitNow untuk membolehkan perniagaan menerima pembayaran QR tanpa sentuh menerusi aplikasi perbankan mudah alih dan e-Dompet, termasuk pembayaran dengan QR serta kad melalui Terminal Pembayaran Semua-dalam-Satu.

Selain perniagaan, rumah ibadat juga menerima pakai pembayaran tanpa tunai, termasuk Kuil Pantai Redang Datuk Kong yang terkenal dengan pokok hajatnya yang dihiasi riben merah dengan ucapan pelawat kuil.

Menurut pengurusan kuil, pengunjung kuil gembira dapat menyalurkan sumbangan mereka menerusi kod QR DuitNow, yang mana bukan sahaja telah memudahkan urusan, malah dilihat sebagai pendekatan yang bijak.

Bagi kuil, ia mengurangkan kerumitan dalam menguruskan kotak derma dan dapat mencegah kecurian.

Bagi mempamerkan elemen terbaik dari Sekinchan dan menyokong perniagaan tempatan, bandar kecil itu juga akan menganjurkan Pencarian Harta Karun digital yang penuh keseronokan dikenali "SekinGo", bagi membolehkan orang ramai dan pelancong benar-benar dapat merasai pengalaman bandar kecil itu secara langsung di 20 lokasi.

Lokasi berkenaan, atau 'SekinStops', merangkumi dari destinasi lawatan terkenal seperti Pantai Redang dan Wishing Tree hinggalah ke lokasi tumpuan tempatan seperti Pasar Awam Sekinchan dan permata tersembunyi yang lain.

Di setiap ‘SekinStop’, pengunjung boleh mendapatkan ‘SekinCoins’ dengan mengimbas kod QR, dan memenangi hadiah bernilai sehingga RM15,000. Pencarian Harta Karun “SekinGo” akan berlangsung sehingga 30 April 2023.

Bro Framestone

Travel, Tech, Parenting dan Lifestyle Blogger di Malaysia sejak tahun 2006. 12 tahun berpengalaman sebagai Social Media Consultant. Mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak (belum plan nak tambah lagi)

View all posts by Bro Framestone →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *