September 8, 2024

Pontianak 200KG: Filem Seram Komedi Paling Berat Abad Ini!

Primeworks Studios dan Metrowealth dengan bangganya mempersembahkan “Pontianak 200KG,” sebuah filem seram komedi yang pasti akan menghiburkan penonton.

Filem ini adalah kesinambungan daripada telefilem popular “Pontianak 100KG,” yang pernah mencatat kejayaan luar biasa dan menjadi pilihan utama di platform Tonton.

Dengan kerjasama antara produksi, filem ini dijangka membawa penceritaan yang lebih menarik dan lucu, sekaligus memperlihatkan kemajuan industri perfileman tempatan.

Barisan Pelakon Filem Pontianak 200KG

Diarahkan oleh Shuhaimi Lua, “Pontianak 200KG” menampilkan Aya Amiruddin sebagai pelakon utama bersama Dottie.

Ini adalah kali pertama Aya memegang peranan utama dalam sebuah filem, satu tanggungjawab besar yang pastinya dinantikan oleh peminatnya.

Barisan pelakon lain yang turut memeriahkan filem ini termasuk Ziana Zain, Ropie, Niezam Zaidi, dan Wanns Ahmad. Tidak ketinggalan, filem ini juga memperkenalkan bakat baru, Apich Lo, serta penampilan istimewa primadona Ziana Zain, yang pasti mencuri perhatian setelah lama tidak beraksi di layar perak.

Sinopsis Filem “Pontianak 200KG”

“Pontianak 200KG” mengisahkan Kampung Terbalik yang menjadi mangsa serangan Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi.

Kedua-dua pontianak ini sentiasa kelaparan dan kerap mencuri makanan, menyebabkan penduduk kampung salah sangka bahawa mereka adalah pontianak yang menghisap darah.

Situasi menjadi lebih kacau apabila mereka jatuh cinta kepada seorang lelaki ala Korea bernama Bilal, yang membuatkan kedua-duanya bersaing untuk menarik perhatiannya.

Namun, keadaan kampung masih huru-hara dengan penduduk yang terus menjadi mangsa serangan pontianak, menyebabkan ketua kampung, Pak Akad, semakin buntu.

Proses penggambaran filem ini telah dijalankan di Ijok, sebuah lokasi yang dipilih dengan teliti untuk memberikan latar yang sesuai dengan elemen seram komedi.

Runut bunyi filem ini pula dihasilkan dengan kerjasama Shiha Zikir Empire dan menampilkan Aya Kamaruddin dalam dunia nyanyian buat pertama kalinya.

Lagu tema “Naik Hantu,” ciptaan Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin, telahpun dilancarkan di semua platform digital. Versi rock lagu ini oleh Buck dan Awas akan menyusul pada 15 Ogos 2024, dan muzik video “Naik Hantu” boleh ditonton di YouTube tidak lama lagi.

Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima & Primeworks Studios, menyatakan bahawa “Pontianak 200KG” adalah hasil kerjasama menyeluruh antara Primeworks Studios dan Metrowealth. Menurutnya, filem ini memperkayakan genre seram komedi di Malaysia, sambil memberi peluang kepada bakat-bakat baru untuk menyerlah.

David Teo, turut menambah bahawa filem ini adalah bukti komitmen mereka untuk menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang sesuai untuk seisi keluarga.

Pengarah filem ini, Shuhaimi Lua, turut berkongsi rasa syukur kerana diberi peluang untuk mengarahkan “Pontianak 200KG,” sebuah impian yang menjadi kenyataan. Filem ini baginya adalah penanda aras untuk terus menghasilkan filem yang menghiburkan dan bermanfaat kepada penonton.

Review Filem “Pontianak 200KG” oleh Bro Framestone

Tonton Filem Pontianak 200KG

Bagi Bro sebagai peminat filem komedi seram, Pontianak 200KG memberikan pengalaman menonton yang cukup menghiburkan dan unik. Filem ini berjaya menggabungkan elemen seram dan komedi dengan cara yang segar dan kreatif.

Watak Pontianak Melati dan Pontianak Mewangi, yang biasanya digambarkan menakutkan, dibawa dengan pendekatan yang lebih “comel” dan penuh gelak tawa.

Mungkin ada beberapa babak macam agak membosankan (dialog drag terlalu banyak masa) atau ada scene yang tak beberapa cantik susunannya atau tergantung gitu je terutama time klimak, membuat penonton tertanya-tanya.

Walau bagaimanapun komedi dalam filem ini memang tidak mengecewakan, dengan dialog yang bersahaja dan babak-babak yang mencuit hati.

Bro sangat terhibur dengan lakonan Aya Amiruddin dan Dottie, yang memberikan keserasian yang sempurna sebagai duo pontianak. Tapi macam kurang menyengat berbanding Pontianak 100KG.

Niezam Zaidi Pelakon Filem Pontianak 200KG
Kenalan Bro, Niezam Zaidi yang membawa sesuatu kelainan pada watak lakonan beliau dalam filem Pontianak 200KG.

Lakonan dari Niezam Zaidi dan Wanns Ahmad yang menyerlah banyak membantu mencantikkan jalan cerita, sekaligus mengurangkan kelemahan watak lakonan dari bakat baru, Apich Lo.

Tambahan pula, penampilan istimewa Ziana Zain sebagai primadona memberikan daya tarikan yang tidak boleh dilepaskan. Plot cerita yang menarik dan tidak terlalu berat membuatkan filem ini sesuai ditonton bersama keluarga.

Pontianak 200KG bukan sahaja berjaya memberikan hiburan, tetapi juga membawa elemen seram dengan cara yang tidak terlalu menakutkan, menjadikannya sebuah filem komedi seram yang serasi untuk semua lapisan masyarakat. Bro sangat menyarankan filem ini untuk sesiapa yang ingin ketawa sambil menikmati sedikit rasa seram!

Ianya boleh dianggap sebagai komedi ringan, harap anda tidak meletakkan harapan terlalu tinggi (tak sesuai bagi mereka yang susah nak ketawa). Just enjoy je show.

Poster Pontianak 200KG

Dengan tagline “FILEM KOMEDI PALING BERAT ABAD INI,” “Pontianak 200KG” akan mula ditayangkan di 75 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei pada 5 September 2024.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem ini yang pasti akan mencuit hati anda dengan kisah pontianak yang comel, kelakar, dan penuh kejutan!

Bro Framestone

Travel, Tech, Parenting dan Lifestyle Blogger di Malaysia sejak tahun 2006. 12 tahun berpengalaman sebagai Social Media Consultant. Mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak (belum plan nak tambah lagi)

View all posts by Bro Framestone →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *