Bank Negara Malaysia (BNM) dengan kerjasama institusi kewangan telah menganjurkan Karnival Kewangan Terengganu dari 4 hingga 6 April 2019 di TH Hotel & Pusat Konvensyen Kuala Terengganu.
Karnival yang berlangsung selama 3 hari ini menerima sambutan yang amat menggalakkan dari masyarakat Pantai Timur dimana ia merekodkan jumlah pengunjung melebihi sasaran, iaitu hampir 20,000 orang.
Acara seperti ini membukti Bank Negara Malaysia komited dalam memberi pengetahuan kewangan kepada masyarakat dengan kerjasama institusi kewangan swasta dan awam.
Bertemakan “Utamakan Keperluan Kewangan Anda”, Karnival Kewangan Terengganu membawa bersama lebih 45 institusi kewangan dan agensi kerajaan dalam mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan.
Ini termasuk produk perbankan Islam, pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana, perlindungan insurans/takaful dan e-pembayaran.
Seramai 1,800 pengunjung telah mencetak laporan CCRIS untuk menyemak status kredit dan mendaftar perkhidmatan eCCRIS. Karnival ini turut merekodkan lebih 16,000 khidmat nasihat kewangan dan kira-kira 4,000 transaksi kewangan bernilai lebih RM25 juta telah berjaya disempurnakan.
Menteri Besar Turut Memeriahkan Karnival Kewangan Terengganu 2019
Pada hari pertama karnival ini berlangsung, ia turut dihadiri oleh Y.A.B Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.
Beliau sendiri teruja dengan sambutan rakyat Terengganu dari semua lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah yang hadir ke karnival ini.
Di sini, beliau turut melancaran laman sesawang MyWakaf dan Gerbang Pembayaran MyWakaf oleh Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) serta beramah mesra dengan pengunjung disetiap booth-booth agensi perbankan dari seluruh negara.
Sewaktu sidang media berlangsung bersama Penolong Gabenor Bank Negara, Abu Hassan Alshari Yahaya , Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, karnival kewangan itu adalah satu karnival yang sangat penting kepada rakyat negeri Terengganu.
Ini kerana katanya, fahaman masyarakat perlu diperbetulkan bahawa urusan bank bukan hanya untuk golongan peniaga dan orang kaya semata-mata tetapi sebaliknya ia adalah untuk semua rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Satu siri jerayawara yang diberi nama “Sembang Santai Bersama Rakan-Rakan Karnival Kewangan” telah diadakan sebelum berlangsungnya Karnival sebagai usaha untuk mempromosikan Karnival ini.
Melalui jerayawara itu, masyarakat tempatan tanpa mengira usia ditawarkan pelbagai perkhidmatan dan nasihat kewangan seperti tip mengenali ciri-ciri keselamatan wang kertas Malaysia, amalan pengurusan kewangan yang baik, pembukaan akaun bank, cetakan laporan CCRIS dan pendaftaran eCCRIS.
Karnival Kewangan ini adalah salah satu kerjasama antara Bank Negara Malaysia dengan industri kewangan, dan menjadikan ia satu batu loncatan yang penting bagi meningkatkan lagi tahap celik kewangan dikalangan masyarakat di Malaysia.
Di samping itu, BNM turut mengadakan beberapa sesi dialog dengan perniagaan tempatan, komuniti kewangan, agensi-agensi kerajaan dan pelajar-pelajar universiti yang dipengerusikan oleh Penolong Gabenor Abu Hassan Alshari Yahaya dan Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Melalui sesi dialog tersebut, maklum balas positif, cabaran dan pendapat mengenai perkembangan yang memberikan kesan kepada wilayah Pantai Timur turut dikongsi.
Sepanjang Karnival Kewangan berlangsung di Pantai Timur, merangkumi jarak perjalanan sejauh 1,200km yang meliputi 11 lokasi di Pahang, Terengganu dan Kelantan telah memberikan manfaat kepada lebih 3,000 orang.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari www.karnivalkewangan.com.my atau hubungi Pejabat BNM Terengganu di talian 09-622 0571.