October 6, 2024

Tahun Melawat Selangor 2025: Tarikan Baru dengan Pelancongan Berasaskan Komuniti

Program Discovery of Local Community Hosts - Pelancongan Berasaskan Komuniti

Pelancongan berasaskan komuniti semakin mendapat perhatian di Negeri Selangor sebagai satu inisiatif penting dalam usaha memperkasakan industri pelancongan tempatan.

Dengan sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC), Tourism Selangor telah memperkenalkan program Discovery of Local Community Host yang menekankan peranan hos komuniti dalam memperkayakan pengalaman pelancong.

Pelancongan berasaskan komuniti ini memberikan peluang kepada pelancong untuk mendekati kehidupan sebenar penduduk tempatan, menikmati keindahan warisan dan budaya serta mendalami sejarah yang unik di setiap destinasi.

Program ini tidak hanya memberi manfaat kepada pelancong, tetapi juga memberikan impak ekonomi yang positif kepada komuniti tempatan. Melalui program ini, penduduk setempat diberi peluang untuk menjadi Hos Komuniti Selangor yang dilatih secara khusus untuk memberikan pengalaman yang autentik kepada pelancong.

Hos Komuniti Selangor Program Discovery of Local Community Hosts
Hos Komuniti Selangor telah menyertai Program Discovery of Local Community Hosts di Selangor oleh MOTAC, yang bertempat di Istana Bandar

Antara contoh terbaik pelancongan berasaskan komuniti di Negeri Selangor adalah Royal Klang Town Heritage Walk. Program ini membawa pengunjung melalui 11 mercu tanda bersejarah di Klang, sebuah bandar yang kaya dengan warisan budaya dan sejarahnya.

Aktiviti ini bukan sahaja membuka peluang untuk pelancong memahami sejarah Klang, tetapi juga memupuk semangat cintakan warisan tempatan dalam kalangan komuniti di kawasan tersebut.

Selain itu, Selangor turut menawarkan beberapa pakej pelancongan komuniti lain yang menarik, termasuk 1,001 Cerita Tempe di Kuala Langat, yang memaparkan sejarah dan pembuatan tempe oleh penduduk tempatan, serta A Cultural Experience dan Heritage Garden Trail di Hulu Selangor, yang memberi peluang kepada pelancong untuk menyelami budaya dan keindahan alam semula jadi.

Royal Klang Town Heritage Walk
Aktiviti Pelancongan Berasaskan Komuniti bersama pengamal- pengamal media melalui program Royal Klang Town Heritage Walk yang lepas

Sejak dilancarkan pada tahun 2018, program ini telah melantik 51 Hos Komuniti Selangor yang terlibat secara aktif dalam enam daerah utama iaitu Klang, Kuala Langat, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, dan Hulu Langat.

Program Hos Komuniti Selangor ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang memperkenalkan dan mengiktiraf pemandu pelancong bertauliah dari kalangan komuniti tempatan. Ini menjadikan Selangor sebagai negeri perintis dalam membangunkan pelancongan berasaskan komuniti yang mampu menjadi rujukan kepada negeri-negeri lain di seluruh Malaysia.

Kepentingan pelancongan berasaskan komuniti bukan sahaja terletak pada usaha mempromosikan destinasi pelancongan, tetapi juga dalam memupuk hubungan yang lebih erat antara pelancong dan komuniti tempatan.

Dengan pengalaman yang diterajui oleh penduduk setempat, pelancong dapat menikmati pengalaman yang lebih mendalam dan bermakna, sekaligus meningkatkan apresiasi terhadap warisan budaya dan sejarah di sesuatu kawasan.

Menurut Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, program ini bakal menjadi tumpuan dalam promosi menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.

Pihak Tourism Selangor yakin bahawa pengalaman pelancongan yang disokong oleh komuniti tempatan adalah kunci untuk mempamerkan tarikan sebenar Negeri Selangor. Selain itu, inisiatif ini juga dilihat sebagai satu cara untuk memupuk hubungan harmoni antara pelancong dan kekayaan warisan serta budaya yang terdapat di Selangor.

Dengan kejayaan yang dicapai oleh program ini, pelancongan berasaskan komuniti dijangka menjadi salah satu strategi utama dalam memperkukuhkan industri pelancongan di Malaysia.

Discovery of Local Community Host di Selangor menjadi contoh yang baik bagaimana komuniti tempatan boleh memainkan peranan penting dalam mempromosikan destinasi pelancongan dan pada masa yang sama, menyumbang kepada peningkatan ekonomi setempat.

Dalam jangka masa panjang, inisiatif seperti ini bukan sahaja membantu memelihara warisan dan budaya, tetapi juga memberi peluang kepada pelancong untuk mendapatkan pengalaman yang lebih bermakna dan autentik.

Semoga dengan usaha ini, pelancongan di Malaysia, khususnya di Selangor, terus berkembang pesat, bukan sahaja dari segi bilangan pelancong, tetapi juga dari segi kualiti pengalaman yang ditawarkan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://selangor.travel/

Bro Framestone

Travel, Tech, Parenting dan Lifestyle Blogger di Malaysia sejak tahun 2006. 12 tahun berpengalaman sebagai Social Media Consultant. Mempunyai seorang isteri dan 2 orang anak (belum plan nak tambah lagi)

View all posts by Bro Framestone →

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *